Thursday, December 10, 2009

Prudential tawar pelan persaraan percuma

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Prudential Assurance Malaysia Bhd. (Prudential) menawarkan pelan persaraan bernilai RM200,000 secara percuma dalam usaha syarikat itu mendidik orang ramai tentang pelan persaraan.

Tawaran itu diberikan kepada pemenang pertandingan 'Cabaran Apakah Nombor Adam' yang berlangsung selama empat minggu bermula 2 Disember hingga 30 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Charlie Oropeza berkata, peraduan itu dilancarkan berikutan maklumat yang diperoleh daripada tinjauan Prudential yang menunjukkan hanya sembilan peratus responden mengetahui mengenai jumlah diperlukan persaraan.

''Jumlah wang diperlukan semasa persaraan merupakan langkah pertama dalam merancang persaraan, kaji selidik kami menunjukkan tidak ramai rakyat Malaysia memberi fokus kepada masalah tersebut.

''Melalui cabaran yang dianjurkan Prudential ini, kami berharap rakyat Malaysia diberi pendedahan dan pendidikan mengenai perancangan persaraan mereka dan ia perlu dilakukan segera memandangkan kadar inflasi meningkat dengan mendadak,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran 'Cabaran Apakah Nombor Adam' di sini hari ini.

Tambah Oropeza, tinjauan itu juga menunjukkan 65 peratus responden meluahkan kebimbangan mereka tentang masalah kewangan yang bakal dihadapi apabila melalui zaman persaraan kelak.

''Lebih separuh responden bercadang untuk bersara sebaik sahaja mencapai kebebasan kewangan. Seramai 75 peratus daripada mereka bersedia untuk terus menabung selepas bersara untuk mencapai jumlah yang diinginkan.

''Melalui tinjauan itu, menunjukkan orang ramai sangat berminat mengetahui jumlah persaraan mereka dan sanggup berusaha ke arah itu,'' jelasnya.

Oropeza berkata, melalui cabaran tersebut, mereka dapat mendidik dan memberitahu orang ramai bahawa perancangan persaraan adalah mudah dan bakal memberi manfaat kepada mereka pada masa hadapan.

Untuk menyertai pertandingan itu, orang ramai yang berusia antara 21 hingga 65 tahun perlu mendaftar di laman web WhatsYourNumber.com.my.

Setiap minggu petunjuk baru akan diberitahu dan peserta berpeluang mengubah jawapan mereka.

Selain hadiah utama RM100,000 dan lapan hadiah saguhati bernilai RM12,500.

Melalui laman web itu juga, ia dapat membantu orang ramai mengira jumlah persaraan mereka kerana mesin hitung persaraan adalah mudah digunakan.

No comments:

Post a Comment

LEAVE UR COMMENT..TQ

TEXTAREA_ID
Related Posts with Thumbnails