Tuesday, December 22, 2009

Salam Takziah kepada Rohana Mat Zin

Takziah kepada Puan Rohana Mat Zin, kawan satu sekolah semasa di MRSM Kuantan 97/98 diatas kehilangan suami tercinta Khairul Nizam Abd Jalil, yang terlibat dengan kemalangan pada 21/12/2009..saya sekeluarga mendoakan semoga arwah di cucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang beriman...AL-FATIHAH...




Berita Asal:


REMUK...kereta Kenari remuk apabila bertembung dengan
pacuan empat roda, pagi semalam.

MARANG: “Sudah tiga kali arwah terselamat dalam kemalangan sebelum ini, tetapi kejadian keempat pagi tadi (semalam) meragut nyawanya,” kata Sidi Ahmad, 34, rakan Khairul Nizam Abd Jalil, 27, yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Pasir Putih, kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang tinggal di Kuarters Imigresen Kampung Panji Alam menaiki Perodua Kenari dalam perjalanan ke tempat kerja di Kerteh, Kemaman.

Bagaimanapun dalam perjalanan itu mangsa, juruteknik syarikat minyak, bertembung dengan pacuan empat roda dinaiki lelaki yang gagal memotong lori ketika itu.

Mangsa yang juga suami kepada anggota Jabatan Imigresen Terengganu itu bertembung dengan pacuan empat roda dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu pacuan empat roda itu mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan susulan.

Sidi berkata, Khairul Nizam sebenarnya baru pulang daripada melawat ibu bapanya di Kuala Lumpur malam kelmarin sebelum bertolak pulang memulakan kerja selepas beberapa hari bercuti.

Katanya, sebelum meninggal dunia, arwah yang sudah empat tahun berkawan dengannya itu tidak menunjukkan sebarang petanda aneh, malah ceria seperti biasa.

Namun, katanya, dia berasa pelik apabila arwah beberapa kali terbabit dalam kemalangan dalam tempoh seminggu tetapi terselamat.

“Mengenai kejadian yang berlaku kepada arwah sebelum ini saya kurang pasti tetapi difahamkan sebelum dia bertolak ke Kuala Lumpur, dia terlanggar belakang kereta ketika mengundur mengeluarkan keretanya dari kawasan parkir di Dungun baru-baru ini.

“Kali kedua pula dia terbabit dalam kemalangan apabila gagal membrek lalu merempuh kereta di Gong Balai, Merchang,’’ katanya ketika ditemui Harian Metro di bilik mayat HSNZ semalam.

Sidi berkata, sebaik terbabit dalam dua kemalangan itu, dia meminjam kenderaan rakan, malah sehari sebelum kejadian yang mengorbankannya, arwah terbabas ketika menaiki kereta isteri.

“Bagaimanapun nasib rakan saya tidak sebaik sebelumnya kerana kemalangan terakhir ini meragut nyawa kerana arwah parah di kepala apabila keretanya remuk,’’ katanya.

Isteri mangsa, Rohana Mat Zin, 29, yang mengandung dua bulan dilihat cuba menenangkan dua anak kecilnya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Dia yang masih hiba dengan kematian suaminya enggan ditemu bual.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mazlan Yahaya yang mengesahkan kejadian itu berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal mendapati pemandu Perodua Kenari itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kerteh, Kemaman manakala pemandu yang menaiki pacuan empat roda itu dari Kuantan ke Kuala Terengganu sebelum mereka bertembung di Kilometer 47.5 Kuala Terengganu-Kuantan.

“Pemandu pacuan empat roda itu dikatakan cuba memotong lori tetapi gagal lalu merempuh pemandu Perodua Kenari itu yang dipercayai gagal mengelak kenderaan yang datang dari depan,’’ katanya.

Mazlan berkata, pemandu yang menaiki Perodua Kenari meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu pacuan empat roda mengalami kecederaan ringan dan dirawat di HSNZ.

“Kami meminta orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian ini tampil memberi keterangan di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,’’ katanya.


Sumber *

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20091222073900/Article/index_html

No comments:

Post a Comment

LEAVE UR COMMENT..TQ

TEXTAREA_ID
Related Posts with Thumbnails